Wednesday 24 August 2011

Apabila udara jahiliyyah ..


Bila udara jahiliyyah biasa kita hirup…

Kita melihat hari ini pelbagai masalah melanda manusia. Ramai yang menyuarakan kerisauan atas sikap dan keadaan pemuda pemudi, tidak kurang juga yang memperkatakan perihal peningkatan jenayah yang menggusarkan pada hari ini, malah ada juga yang menyuarakan ketidak senangan melihat pergolakan demi pergolakan yang berlaku sekarang.
Semua bergerak dalam satu dunia. Itulahdunia yang kita duduki. Semua berkongsi satu udara. Itulah udara yang kita hirupi. Dan hari ini, udara yang kita hirup sudah tercemar dengan jahiliyyah. Jahiliyyah inilah yang merosakkan hati manusia sedikit demi sedikit, sedikit demi sedikit, sehingga tiada lagi di hatinya rasa keadilan, rasa hendak kembali mengasah keimanan, rasa hendak berbuat kebaikan dan sebagainya.
Perasan atau tidak, apabila saban hari kita ditubi dengan berita-berita kerosakan dan keruntuhan suasana dunia hari ini, setelah hari demi hari berlalu kita menghirup dalam udara yang tercemar ini, kita akan melihat keadaan ini sebagai biasa.

Bila melihat dua pasangan bercengkerama di taman rekreasi, hati kita tidak timbul rasa benci, yang timbul adalah,
“ Biasalah tu…”
Bila kita melihat adegan seks dalam cerita hollywood, kita tidak bertindak pantas membencinya, tetapi kita akan kata,
“ Alah, biasalah ni, hollywood”
Apatah lagi bila kita melihat perempuan yang berbaju ketat, lelaki yang bersubang, perokok, peminum arak, penagih dadah, pengorat perempuan jalanan, rasuah, taktik keji dan 1001 macam lagi kerosakan yang biasa kita dengari, dan sudah mali di dalam masyarakat.
Kita akan kata, “ Biasalah itu…”
Kata-kata ini tanda sensitiviti hati kita telah terhakis dek udara yang tercemar. Kalau di dalam sains kita ada belajar teori luluhawa, maka suasana hari ini adalah satu luluhawa, yang merosakkan hati kita secara senyap, dalam satu jangka masa yang lama.
Saat inilah kita perlu bangkit, jika karat pagar kita hilangkan dengan kertas pasir, kemudian kita cat semula menjadi cantik, maka karat di hati kita akibat udara jahiliyyah ini perlu kita kikis dengan Al-Quran dan mengingati pertemuan dengan ALLAH, seterusnya kita cat, hiaskan dengan cantik menggunakan akhlak rabbani dari sunnah Rasulullah. Sabda baginda,
“ Hati itu akan berkarat sebagaimana karatnya besi, sahabat-sahabat pun bertanya, maka apakah cara untuk memulihkannya? Rasulullah SAW menjawab, membaca Al-Quran dan mengingati mati”
Kerosakan hati tidak akan membawa kepada kebaikan. Kerosakan hati hanya membawa kepada kecelakaan.
Kita sorot kembali kegemilangan ISLAM. Siapakah yang menerajui hari-hari kegemilangan ISLAM? Siapakah yang merintis kegemilangan ISLAM? Bukankah Rasulullah dan para sahabat assabiquunal Awwaluun? Bukankah manusia-manusia yang bersih hatinya seperti Umar Abdul Aziz?
Kita lihat pula bagaimana kegemilangan ini runtuh. Bilakah kegemilangan ini runtuh? Apabila hati-hati manusia sudah lupa kepada ALLAH, dan meninggalkan segala ajaranNya, apabila hati-hati sudah kotor dan melupakan keutamaan sistemNya, apabila hati-hati sudah tercedera, dan melupakan segala tunjuk ajar utusanNya. Ya, ketika hati ummah rosak, dan ketika itulah ummah gemilang ini jatuh terungkur di bawah tikaman kehinaan.
Hari ini apa yang tinggal untuk ummat ISLAM? Hanya masjid-masjid yang menjadi museum tarikan pelancong, hanya negara-negara yang tiada kekuatan untuk bersatu. Hanya bilangan yang ramai tetapi ibarat buih yang hancur bila dijentik. Sabda baginda,
“ Satu hari nanti, kamu akan dikerumuni oleh musuh-musuh kamu sebagaimana orang lapar menggerumuni makanan. Sahabat-sahabat bertanya, Apakah kami sedikit ketika itu ya Rasulullah? Tidak, bahkan kamu ramai. Tetapi kamu ibarat buih di lautan. Kerana kamu sudah terkena penyakit WAHN. Sahabat bertanya lagi, Apakah WAHN itu ya Rasulullah? Rasulullah menjawab, Cinta dunia dan takut mati”
Bila hati sudah rosak, maka tiada lagi sensitiviti dan kepekaan dalam melaksanakan ajaran ALLAH. Jangan kata hendak bangunkan negara ISLAM, jangan kata hendak menjalankan hukum hakam ALLAH dalam negara, sedangkan hati itu tidak kita kembalikan kepada ALLAH dalam keadaan sempurna.
Hendak cemerlang? Hendak menjadi yang terhebat? Maka tundukkanlah hati kepada ALLAH. ALLAH lah pemilik segala kehebatan, dan DIA sahajalah yang mampu memberikan kehebatan itu kepada kita.
Mari, jika dalam keadaan pencemaran udara hari ini kita lakukan projek rumah hijau untuk menjaga tanaman, tumbuhan dari terus pupus, sekaligus menjadi sumber O2 kita, maka kita sepatutnya pergi mencari satu proses yang boleh kita jadikan sebagai ‘rumah hijau’ kita. Di dalam ‘rumah hijau’, udaranya berbeza dari udara yang telah tercemar. Udaranya segar, khas untuk pembenihan, pertumbuhan, dan pengeluaran manusia-manusia yang mempunyai hati yang sensitif, sekaligus menjad ‘O2’ yang menghidupkan ummah. Kita menjadi apa yang Sheikh Mustapha Masyur katakan,
“ Perbaiki diri kamu, dan ajak orang lain”
Kita sepatutnya membina ‘rumah-rumah hijau’ ini dalam kehidupan kita.
Dan sebenarnya ‘rumah-rumah hijau’ ini ada dan wujud jika kita benar-benar mencarinya.
Dalam serabut kemasyarakatan, dalam keadaan hati yang sudah semakin ditumpulkan, kita mencari jalan untuk kembali membangunkan hukum-hukum ALLAH dalam hati dan jiwa kita. Jika tidak mahu berfikir fasal ummah, tidak mengapa. Tetapi fikirlah fasal diri sendiri. ALLAH menanti kita di akhirat nanti untuk bertanya apakah yang telah kita lakukan dengan nyawa, ruh dan jasad yang telah dipinjamkanNya kepada kita. Siapakah yang selamat pada hari perhitungan itu? ALLAH berfirman,
“ Hari yang tidak berguna harta dan anak pina, kecuali mereka yang datang kepada ALLAH dengan hati yang sempurna”
Wahai manusia, wahai diri saya, takutlah kita kepada ALLAH, asahlah kembali hati-hati kita, dan marilah kita kembali kepadaNya dengan hati yang segar dan sempurna.
sedut dari sini

No comments:

Post a Comment