Wednesday 5 December 2012

Menyantuni mujahadah, merindui sakinah.

Saat rasa menyesal masih bertandang, namun sukar membuang rasa puas dan menyeronokkan. Bersyukurlah! Kita masih dalam kerangka mujahadah.

Teruslah menyantuni hati yang suci, ada kotoran yang sedang mengalir di lembah jiwa, ada racun yang sedang merebak, kita sangka itulah nikmat dan anugerah, kita sangka itulah jawapan istikharah, tapi itulah mujahadah yang semakin menebal yang menuntut hati yang cekal.

Langkah mujahadah langkah yang payah. Tetapi destinasinya sinar yang membahagiakan.

Sesuatu yang didapati dengan susah payah, lebih manis, mahal, berharga, beerti dari sesuatu yang mudah-mudah untuk mendapatkannya.

Sesuatu yang sukar untuk ditinggalkan, apabila berjaya menempuhnya, ia adalah tara iman dan kemanisannya yang semakin bertambah. Kualiti kehambaan, produk khalifah dan ketulusan hati dan ilmu yang tinggi.

Sempurnakanlah kehambaan dengan juang mujahadah ini. Kelak, jihad yang tinggi, agama yang perlu didaulati, dan kalimah ‘Allah’ yang perlu dirajai menuntut insan yang hatinya tabah. Dan berdoalah… agar kitalah orang itu.

Jangan memakaikan topeng halal kepada yang haram, atau ‘boleh’ kepada yang ‘tidak boleh’. Itu tanda mujahadah tidak ada makna lagi dalam diri. Hati sudah dihantui kegelapan, sudah terlalu rosak untuk diubati.

Ambillah masa untuk melihat perubahan itu. Berilah masa untuk melihat hakikat cinta Tuhan yang agung itu. Ajarlah hati untuk menyingkap rahsia hikmah Tuhan. Didiklah diri untuk menyantuni taubat, menyayanginya, membuatkan kita merindui untuk melakukannya berulang kali. Bukan kerana salah yang diulang-ulang, atau fasik yang datang, atau munafik yang merajai diri, tetapi kerana rindu merintih, cintakan pertemuan bersama-Nya.
.
Justeru, taubat dan pertemuan kasih dengan Tuhan ini, hendaknya dilakukan berkali-kali.


Kemana hilangnya Dia? Dia tidak kemana, cuma kita yang menghilangkan diri darinya. Hati kita yang kabur melihat-Nya. Sedangkan Dia sentiasa menunggu kita.

Setapak kita mendekat, sejengkal Dia datang.
Menyantuni mujahadah, merindui jannah sakinah.

sumber : http://hafizulfaiz.com/?p=562

No comments:

Post a Comment