Kisah
ini saya kongsikan bukan untuk menunjuk-nunjuk betapa baiknya diri
saya. Anda yang mengenali diri saya di luar lebih tahu saya ini manusia
yang bagaimana.
Cuma.
Kisah ini buat saya terfikir betapa pentingnya bergaul dengan orang-orang yang soleh dalam hidup kita.
Kerana
kesolehan mereka bagaikan sumbangan cas untuk iman kita supaya
terpengaruh baik seperti mereka juga. Walaupun kita buruk. Walaupun kita
jahat. Walaupun kita tidaklah sebaik mana.
November 2011.
Waktu itu, ada Program Qiamullail
di universiti. Semasa duduk makan-makan dalam bulatan selepas waktu
Subuh, kami bertaaruf sesama sendiri. Walaupun satu universiti, bukan
semua orang kita tahu dan kenal.
Antara ramai-ramai akhawat,
saya tertarik hati untuk beramah mesra dengan seseorang yang duduk
berhadapan dengan saya. Orangnya murah dengan senyuman. Berwajah lembut.
Seperti melihat Nur di wajahnya.
Saya: Sis tinggal di Mahallah mana?
Dia: Saya duduk luar. Tidak tinggal di sini.
Saya: Jadi, datang dengan siapa?
Dia: Dengan suami.
Saya: Eh, sudah berkahwin ke?
Dia: Sudah. Baru juga. Rezeki murah. Sekarang sedang mengandung dua bulan anak yang pertama.
Saya: Alhamdulillah. Tahniah. Muda-muda sudah bernikah. Sejuk hati saya.
Perasaan
saya berbunga-bunga. Rasa teruja mengetahui ada pasangan suami isteri
yang memanjangkan cinta mereka di rumah Allah. Sudut hati yang paling
dalam. Ada rasa cemburu. Entahkan berpeluang atau tidak, saya ini
dikejutkan suami untuk sama-sama bersolat malam di masjid.
Melihat
dia yang lemah lembut, terdidik, dan bersopan-santun saya dapat
membayangkan perwatakan suaminya bagaimana. Pastinya, seorang lelaki
hebat. Jodoh yang Allah berikan untuk kita selalunya tidak lari jauh
daripada sikap dan perangai kita juga.
Mereka
berdua pastinya sekepala. Sama-sama cintakan Allah melebihi dinginnya
malam bermalasan di katil. Kalau tidak masakan mereka suami isteri
sanggup bersusah payah datang daripada luar melakukan Qiamullail di masjid ini.
This is sweet. Seriously,
bertuahnya dia. Pada saat Tanah Melayu kekurangan lelaki-lelaki
gagah,dia sudah ada seseorang yang membawanya jalan menuju rumah Allah.
Saat
diulit cemburu, saya kembali teringat bagaimana kaki saya ini boleh
terikat ke tempat ini. Saya kembali tersedar, saya juga bertuah. Masakan
tidak. Kerana sejujurnya, saya bukan ahli tegar yang duduk solat di
masjid sepenuh waktu. Tidak!
Di
atas merupakan pengalaman pertama Subuh di masjid sepanjang saya
bergelar sisiwi di universiti ini. Itupun selepas diajak oleh seorang
kawan yang solehah. Sudah saya katakan berulang kali, saya bukanlah
seorang yang baik maksum. Saya juga pendosa. Banyak khilafnya. Namun,
saya bersyukur kerana dikelilingi manusia-manusia baik yang selalu
mengingatkan saya pada fitrah beragama dan kenal Pencipta.
Jikalau
perempuan tadi mempunyai sorang suami soleh yang mempengaruhinya untuk
pergi ke rumah Allah, saya tetap bersyukur sekurang-kurangnya Allah
memberikan saya rezeki teman karib yang solehah yang selalu berusaha
mengajak saya mendekati dan mencintai masjid.
Juga.
Seandainya iman saya turun, kosong dan lemah, Allah hantarkan dia untuk saya kembali ingat pada-Nya.
This is sweet too. Alhamdulillah,
bertuahnya saya ada seorang sahabat macam dia. Pada saat Tanah Melayu
kekurangan sahabat-sahabat yang sudi mengingatkan kita ketika alpa, saya
sudah ada seseorang yang sudi menunjukkan saya jalan menuju rumah
Allah.
Saya belajar satu perkara.
Kadang-kadang
kita terlalu imaginastik mahu mencari seorang lelaki yang soleh untuk
dibuat suami supaya hidup kita bahagia di dunia dan akhirat tetapi kita
jarang sekali mengingatkan diri kita untuk berusaha mencari
sekurang-kurangnya seorang kawan yang solehah supaya kita juga mendapat
kebahagiaan yang sama.
Kadang-kadang
kita selalu berangan-angan mahu ditemukan lelaki soleh supaya kita
dapat berpimpin tangan menuju redha Allah bersama-sama padahal kita
tidak berusaha mendampingkan diri mencari sahabat yang solehah yang
boleh mengingatkan kita waktu solat, jom puasa sunat, ataupun mari baca
Ma'thurat.
Bukankah
sahabat yang baik juga adalah pembuka jalan untuk kita menjadi yang
baik dan permulaan cerita untuk kita mendapat yang terbaik juga?
Bukankah seorang isteri yang baik pada masa hadapan bermula dengan menjadi sahabat yang baik juga pada masa sekarang?
Hmm. Jawab sambil melepaskan satu nafas panjang. Panjang dan berat.
http://fatinzuaini.blogspot.com/2012/01/dia-ada-suami-soleh-saya-ada-teman.html
No comments:
Post a Comment